Mengapa Roh Tak Bersih

Makanan roh yang baik ialah sembahyang, puasa,
zikir, selawat, baca Al Quran, berkorban, berjihad, berdakwah, belajar,
berkhidmat kepada masyarakat dan lain-lain kebaikan lagi. Walaupun
makanan roh yang baik seperti di atas itu sudah dilakukan, ia tetap
tidak mendatangkan ketenangan kerana ia mungkin dilakukan dengan cara
yang tidak sempurna dan tidak tepat dengan ilmunya. Atau dilakukan
dengan cara yang tidak ikhlas atau tidak dihayati dengan jiwanya.
Tentulah ibadah-ibadah tersebut tidak akan memberi kesan kepada jiwa dan
fikiran. Jadi, kalau sudah tidak memberi kesan kepada jiwa dan fikiran,
tentulah ia juga tidak akan memberi kesan kepada tindakan anggota lahir.
Yakni anggota lahir tetap juga jahat. Contoh-contohnya:

1. Sembahyang tetapi tidak menghayatinya, lalai dan berkhayal sewaktu
menunaikannya. Sembahyang begini tidak akan memberi kesan apa-apa pada
hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran, tentulah ia
juga tidak akan berkesan pada anggota lahir.

2. Rajin baca Al Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutan tuntutan dari
ayat-ayat yang dibaca itu, tentulah tidak akan memberi kesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Ia tentunya tidak berkesan juga pada anggota
lahir.

3. Selawat, zikir, berjuang, berjihad dan berdakwah tetapi tidak dari
hati. Hanya ucapan di lidah sahaja. Tentulah tidak berkesan apa-apa
kepada hati dan fikiran. Bila tidak berkesan pada hati dan fikiran,
tentulah ia juga tidak berkesan apa-apa pada anggota lahir.

4. Berkorban, bersedekah, lain-lain kebaikan dan kebajikan juga, kalau
tersalah cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan sempurna,
bukan kerana Allah, tidak pada tempatnya atau tidak dihayati, maka
kesannya tidak akan sampai ke hati dan fikiran. Apabila tidak berkesan
di hati dan fikiran, tentulah tidak berkesan juga kepada anggota lahir.

Adapun semua makanan roh yang baik ini walaupun asalnya baik tetapi oleh
kerana tidak faham cara, tidak tepat dengan ilmunya, tidak dibuat dengan
sempurna, tidak dihayati di hati atau membuat perkara itu tetapi tidak
disertai dengan mujahadatun nafsi, maka hasilnya tetap sama dengan orang
yang tidak melakukannya. Yakni tidak dapat memberi kekuatan kepada roh
(jiwa atau hati).

Kalau begitu roh tetap tidak sihat, lemah jiwa, mudah diserang penyakit
hati seperti hasad dengki, sombong, riyak, pemarah, bakhil, dendam dan
lain-lain mazmumah lagi. Penyakit-penyakit mazmumah (keji) tetap juga
tidak terubat. Sebab itu hati tidak tenang, gelisah dan keluh-kesah.

Roh atau hati juga boleh jadi rosak (jahat) kalau kita campurkan antara
membuat perkara yang baik dengan membuat perkara-perkara yang jahat.
Walaupun perkara-perkara yang baik itu dibuat tetapi dalam masa yang
sama masih melanggar pantang-larang syariat seperti bergaul bebas lelaki
dan perempuan, mendedahkan aurat, makan makanan yang haram dan subahat,
suka mengumpat, memfitnah orang, gila dunia, gila pangkat dan gila puji,
maka tentulah makanan roh yang baik tadi tidak akan memberi kesan.

Kiriman email seorang sahabat.

Comments

Popular posts from this blog

AL-BAQARAH AYAT 120